Kim Sang-sik Diam-Diam Kaji Aksi Harimau Malaya
MakanBola
Vietnam FF

Ketua jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik dalam diam dikesan menonton aksi Harimau Malaya menjelang pertemuan epik Kelayakan Piala Asia 2027.

Bahang kehangatan pertemuan Malaysia vs Vietnam semakin dapat dirasai ketika kedua-dua pasukan dalam misi memburu kemenangan kedua setelah aksi cemerlang pada perlawanan pertama lalu.

Di atas kertas, Vietnam bakal turun dengan status sebagai pendahulu kumpulan F ketika ini selain turut bergelar juara AFF Mitsubishi Electric Cup lalu sekaligus memberi sedikit kelebihan.

Walau bagaimanapun, Malaysia yang kini berwajah baharu di bawah projek Revolusi Harimau Malaya yang dipimpin DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor tidak boleh dipandang rendah.

Perubahan besar di barisan kejurulatihan dan juga pemain-pemain Harimau Malaya ketika ini tampak memberikan satu cabaran baharu dan besar buat skuad Vietnam kendalian Kim Sang-sik.

Menerusi perkongsian video oleh The Thao TV, kelibat Kim Sang-sik dilihat sedang leka menonton aksi skuad Harimau Malaya yang turun menentang Cape Verde di Cheras pada 29 Mei.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu begitu khusyuk meneliti dan melakukan tugas menganalisa pasukan Harimau Malaya meskipun sedang berada di dalam penerbangan ke Malaysia beberapa hari lalu.

Sudah pastinya perancangan teliti sedang dirangka oleh Kim Sang-sik dan Vietnam dalam usaha untuk menyekat pasukan Malaysia yang diperkuat 5 orang pemain baharu yang beraksi di luar negara.

Aksi Malaysia vs Vietnam bakal berlangsung pada 10 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan sepak mula perlawanan akan bermula tepat jam 9 malam.