Kim Sang-sik Yakin Vietnam Ada Formula Atasi Malaysia
MakanBola
Vietnam FF

Jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik percaya dengan semangat sepasukan akan memberikan kemenangan ke atas Malaysia dalam aksi Kelayakan Piala Asia pada Selasa.

Malaysia dan Vietnam akan turun dalam aksi kedua peringkat kumpulan F Kelayakan Piala Asia dengan kedua-dua pasukan mencatat kemenangan dalam perlawanan pertama pada Mac lalu.

Di atas kertas, Vietnam bakal turun dengan status sebagai pendahulu kumpulan F ketika ini selain turut bergelar juara AFF Mitsubishi Electric Cup lalu sekaligus memberi sedikit kelebihan.

Walau bagaimanapun, Malaysia yang kini diperkuat dengan kehadiran 5 pemain warisan baharu dijangka akan memberi saingan sengit ditambah pula menerima sokongan peminat.

Menurut Sang-sik, pertemuan di Bukit Jalil ini diramal bakal menjadi perlawanan paling sukar untuk pasukan Naga Emas dalam perjalanan mereka untuk layak ke pentas Asia tahun hadapan.

”Ini adalah aksi paling penting dan akan menjadi pertemuan paling sukar dalam perjalanan ke Piala Asia,” ulas Kim Sang-sik ketika sidang media pada Isnin.

Sungguhpun begitu, pengendali kelahiran Korea Selatan ini percaya sekiranya anak-anak buahnya beraksi sebagai satu pasukan yang teguh, misi meraih mata di Malaysia akan jadi kenyataan.

”Akan tetapi jika pasukan Vietnam bermain dengan baik dan bersatu hati sebagai sebuah unit, kami mampu memperoleh mata penuh di laman lawan,” tambah beliau.

Aksi Malaysia vs Vietnam akan berlangsung pada 10 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan sepak mula perlawanan dijadualkan bermula tepat jam 9 malam.