Menjelang perlawanan Piala Malaysia 2023 menentang Penang FC malam ini, KL City FC bakal beraksi tanpa kehadiran ayam tambatan dan kapten, Paulo Josue.
Ini selepas pemangku jurulatih The City Boys, Miroslav Kuljanac mendedahkan beberapa pemain terpaksa direhatkan akibat kecederaan termasuk pemain naturalisasi Malaysia itu.
Dengan Josue direhatkan untuk aksi malam ini, KL City FC bakal berdepan Harimau Kumbang yang kini diperkuatkan beberapa pemain baru. Antara pemain yang bakal menjadi ancaman kepada The City Boys ialah penyerang baru mereka berdarah Ireland-Nigeria, Abdul Abdeen Temitope.
“Kita ada beberapa (pemain) yang cedera. Kita ada beberapa pemain yang kurang sihat. Tapi saya tak melihat perlawanan ini (menentang Penang) berbeza daripada menentang Kelantan.
“Paulo (Josue) mengalami kecederaan. Kemudian, Azri Ghani masih belum sihat lagi. Akram (Mahinan) baru nak kembali berlatih. Jadi, kita akan lihat, saya belum memilih kesebelasan utama (untuk perlawanan itu),” katanya dalam sidang media pra-perlawanan yang disiarkan di Astro Arena semalam.
Aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia KL City FC-Penang FC akan berlangsung di Stadium Bandaraya, Georgetown malam ini. Ini disusuli aksi kedua yang akan diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 18 Ogos.
Perlawanan malam ini juga merupakan perlawanan terakhir Kuljanac sebagai pemangku jurulatih KL City FC. Selepas itu, peranan jurulatih bakal digalas Nenad Bacina bagi menggantikan Bojan Hodak yang menerima tawaran kelab Liga 1 Indonesia, Persib Bandung.