Selepas namanya diumumkan sebagai sebahagian pemain yang tidak dikekalkan Kedah untuk musim hadapan, ramai menyangka jodoh Mahmoud Al-Mardi dengan Liga Malaysia sudah berakhir. Tetapi nampaknya, Negeri Sembilan mahu membawa pemain sayap Jordan itu memperkuat bahagian serangan mereka.
Hal ini didedahkan oleh wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran menerusi ciapan di Twitter. Walaupun ia masih bersifat khabar angin, kelibat pemain antarabangsa Jordan itu dilihat dapat menambahbaik skuad Hoben Jang Hoben selepas menamatkan Liga Super musim 2022 di tempat keempat.
Musim 2022 menyaksikan Mahmoud merekodkan 19 penampilan dalam semua kejohanan dan menjaringkan sembilan gol. Selain beraksi bersama Kedah, dia juga pernah beraksi dengan Al-Muharraq (Bahrain), Al-Arabi (Kuwait) dan Al-Jazeera (Jordan). Mahmoud turut mencatat 37 cap bersama Jordan selepas membuat penampilan pertama pada 2015.
Selain pemain sayap Jordan itu, bek tengah Singapura Safuwan Baharudin turut diintai pengurusan Negeri Sembilan bagi memperkuatkan pasukan. Jika dua perpindahan ini menjadi kenyataan, mereka berdua bakal mengisi kuota import skuad Rusa musim depan.
Seperti Kedah, Negeri Sembilan juga turut melepaskan semua pemain import mereka musim ini iaitu Matheus Alves, Amin Nazari, Gustavo Almeida Dos Santos dan Yashir Pinto. Hanya bekas pemain import Sri Pahang, Herold Goulon yang dikekalkan jurulatih K. Devan untuk saingan liga musim hadapan.