Selepas berjaya mendapatkan khidmat pemain Uzbekistan Sardor Kulmatov, dua lagi pemain import dari Croatia kini menjadi sebahagian daripada skuad Terengganu musim 2023. Duo tersebut ialah bekas penyerang Inter Zapresic, Ivan Mamut dan bekas pemain tengah Osijek, Domagoj Pusic.
Berita perpindahan dua pemain Croatia ini diumumkan pengurusan Terengganu FC (TFC) menerusi laman media sosial mereka semalam.
Kehadiran dua pemain import ini dijangka memantapkan lagi bahagian tengah dan serangan Terengganu. Pusic dijangka membentuk gandingan dengan satu-satunya tenaga import yang dikekalkan untuk musim 2023, Habib Haroon dari Bahrain. Dia dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan Manuel Ott.
Manakala Mamut pula diharap dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Kpah Sherman dan Kipre Tchetche. Bekas penyerang FCSB itu akan bergandingan dengan penyerang berbisa Thailand, Adisak Kraisorn.
Dengan pengumuman perpindahan Mamut dan Pusic, ia melengkapkan senarai sembilan pemain import skuad Penyu. Selain Mamut, Pusic, Habib, Kulmatov dan Kraisorn, Terengganu turut mendapatkan khidmat bekas pemain import Melaka United, Sony Norde.
Manakala tiga lagi beraksi di TFC II iaitu Jordan Mintah, Luke Woodland dan Argzim Redzovic. Ketiga-tiganya masih mempunyai kontrak sehingga akhir November ini. Tetapi ini boleh saja berubah sekiranya permohonan status naturalisasi Redzovic mendapat kelulusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).