Quang Hai Dapat Sertai Piala AFF 2022

Nguyen Quang Hai Pau FC 1 Quang Hai Dapat Sertai Piala AFF 2022
Pau FC
Azim Noor @mohdazim45
7:28am 17/11/2022

Vietnam sebelum ini mengeluh kerana tidak dapat menggunakan khidmat Nguyen Quang Hai untuk Piala AFF 2022 kerana tidak dilepaskan kelabnya Pau FC. Tetapi semalam, kelab Ligue 2 mengubah keputusan mereka.

Pau bersetuju melepaskan Quang Hai menyertai pasukan Pahlawan Bintang Emas untuk Piala AFF walaupun ia tidak jatuh dalam kalendar FIFA. Dan ia didorong oleh beberapa sebab.

Pertama, Ligue 2 berehat dari 30 November hingga 26 Disember. Seperti liga-liga Eropah lain, ia dihentikan bagi memberi laluan kepada Piala Dunia 2022 di Qatar.

Kedua, Pau melihat penyertaannya dalam pasukan kebangsaan Vietnam dapat membantu Quang Hai menjadi pemain lebih baik. Ini sekaligus dapat membantu Pau merekodkan kedudukan lebih baik dalam liga.

Pengurus Les Maynats, Didier Tholot berkata, “Tindakan ini bermakna Quang Hai mempunyai masa yang sedikit untuk bermain tetapi saya masih percaya kepada kualitinya dan apa yang dibawa kepada pasukan serta membantu kami mencapai sasaran-sasaran kami.

“Kami mahu dia bermain dalam pelbagai perlawanan bersama pasukan kebangsaan, jadikan dia kuat dan memainkan peranan lebih besar dalam separuh kedua musim (20 perlawanan). Selain pasukan, saya juga mementingkan individu dan kesihatan setiap pemain. Saya tahu kejohanan ini amat penting untuk Quang Hai dan peranannya dalam pasukan kebangsaan. Justeru, saya ucapkan selamat berjaya kepada dia.”

Dengan perlepasan yang diberi, Quang Hai bakal beraksi di Piala AFF buat kali ketiga. Sekiranya Quang Hai dapat membantu Vietnam menjulang piala berprestij Asia Tenggara itu, ia dianggap hadiah perpisahan terbaik buat jurulatih mereka Park Hang-seo yang bakal mengundur diri selepas kejohanan.