Sabah terpaksa akur menamatkan aksi Liga Super musim ini tanpa dua tonggak import utama pasukan.
Saingan Liga Super ketika ini sudah memasuki minggu ke-22 dengan persaingan yang sengit ditunjukkan oleh kelab-kelab untuk memburu tempat terbaik khusus di pertengahan carta.
Hanya 10 mata membezakan pasukan di tangga ke-3, Sabah dan juga Kuching City yang berada di tempat ke-6 sekaligus membuktikan persaingan tampak sengit tatkala musim bakal berakhir.
Tamparan hebat diterima kelab daripada Borneo, Sabah bagi memburu kedudukan terbaik dalam carta apabila terpaksa melupakan khidmat 2 tonggak import hingga akhir musim ini.
Peledak berbisa Sabah, Joao Pedro mengambil keputusan mengejutkan apabila memilih untuk meninggalkan kelab dan kelab Vietnam, menyertai Ho Chi Minh City secara pinjaman.
“Sabah FC hari ini mengumumkan bahawa penyerang import dari Brazil, João Pedro Boeira Duarte akan menyertai Ho Chi Minh City FC sebagai pemain pinjaman.
“Keputusan ini dibuat setelah João Pedro menerima tawaran dari kelab Vietnam tersebut,” umum pengurus besar Sabah FC, Md Joh Wid dalam satu kenyataan.
Lebih memburukkan keadaan apabila benteng Sabah turut menerima impak dengan ketiadaan Gabriel Peres sehingga akhir musim ini akibat kecederaan lutut yang dialami dalam aksi terdahulu.
“Satu lagi masalah yang kita terpaksa hadapi adalah (kehilangan) Gabriel Peres kerana beliau mengalami kecederaan ketika aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia.”
“Beliau kini perlu menjalani pembedahan, tiada pilihan lain. Jadi kami perlu hadapinya (aksi tanpa Peres),” ujar jurulatih Sabah, Martin Stano kepada Astro Arena.
“Ya, sehingga akhir musim, Gabriel Peres akan terlepas aksi,” tambah Stano lagi.
Ujian seterusnya menanti Sabah adalah menentang KL City pada 21 Februari di Stadium Likas dalam aksi tertunda Liga Super.