Sabah FC terus menerima tamparan hebat apabila kehilangan khidmat bek tengah berdarah Australia-Greece, Haris Stamboulidis.
Sebelum ini, Sang Badak perlu meneruskan perjuangan tanpa kelibat dua tonggak import iaitu Joao Pedro dan Gabriel Peres.
Pedro memilih untuk berhijrah ke Vietnam agar dapat melengkapkan perpindahan pinjaman ke Ho Chi Minh City FC (HCMC FC). Peres pula perlu berehat panjang kerana mengalami kecederaan lutut.
Kini, pengendali Sabah, Martin Stano terpaksa merencana strategi pasukan tanpa kelibat Stamboulidis.
Bek tengah berusia 28 tahun itu mengalami kecederaan patah tulang rahang selepas berlanggar dengan Saddil Ramdani dalam sesi latihan baru-baru ini.
Wartawan Astro Arena, Fina Nasrom memaklumkan kecederaan tersebut memaksa Stamboulidis melupakan baki aksi Liga Super musim 2024/25.
“Pertahanan Sabah FC, Haris Stamboulidis patah tulang rahang ekoran perlanggaran dengan Saddil Ramdani ketika sesi latihan pada Isnin.
“Keadaan itu memaksa Stamboulidis melupakan sepenuhnya saingan liga yang masih berbaki musim ini,” katanya di X.
Situasi ini dijangka mendorong Stano meletakkan Park Tae-soo sebagai bek tengah untuk bergandingan dengan bek tengah Harimau Malaya, Dominic Tan.
Sabah bakal berdepan Selangor FC di Stadium MBPJ pada 27 Februari.