Tonggak Timnas Indonesia Di Belanda Dilabel ‘Tidak Waras’
MakanBola
FC Twente

Tonggak pertahan skuad kebangsaan Indonesia, Mees Hilgers dikecam hebat dan dilabel tidak waras ketika beraksi buat FC Twente di Belanda.

Perkara tersebut disuarakan oleh bekas pemain FC Twente kelahiran Denmark, Kenneth Perez seperti yang dilaporkan laman bola sepak terkemuka Indonesia.

Perez memberikan kritikan pedas itu selepas aksi longlai Hilgers ketika FC Twente tunduk 0-2 kepada kelab gergasi Belanda, Ajax Amsterdam pada Ahad.

“Gol itu berasal dari pelanggaran, maaf untuk mengatakannya, si bodoh Hilgers. Entah apa yang terjadi pada dia sejak menjadi pemain kebangsaan untuk Indonesia. Dia pikir dia bintang dunia.

“Pemain pertahanan perlu menggunakan otak walaupun anda mahu tunjukkan betapa kuatnya diri anda. Gunakannya pada masa yang sesuai. Hilgers memang tidak waras,” tegas Perez seperti yang disiarkan CNN Indonesia.

Perez dilihat sangat marah dengan penampilan Hilgers pada babak pertama menentang Ajax. Gol pertama yang dihasilkan Ajax dikatakan daripada kesalahan yang dilakukan Hilgers.

FC Twente kini berada di kedudukan ke-6 Eridivise dengan Hilgers merupakan tonggak utama buat Twente sepanjang musim 2024/2025.

Ini bukanlah kali pertama Hilgers dikritik kerana sebelum ini, pemain legenda Belanda, Robin Van Persie turut pelik dengan Hilgers yang memilih Indonesia berbanding Belanda.