Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menjawab kenyataan yang dikeluarkan oleh pemilik Buriram United.
Bos Buriram, Newin Chidchob tampil dengan satu kenyataan yang menghangatkan persaingan bola sepak Asia Tenggara selepas menganggap tahap Liga Thailand dan Malaysia berbeza.
Beliau menganggap bahawa Liga Thailand lebih sengit dan kompetitif berbanding Malaysia yang sudah sedekad didominasi oleh skuad Harimau Selatan.
“Kita boleh beraksi menentang satu sama lain lagi. Tak ada peluang mereka (JDT) terlepas selepas ini. Saya boleh katakan bahawa kualiti di Liga Malaysia tidak sama dengan Thailand secara jujurnya.
“Sungguhpun JDT telah mendapatkan ramai pemain import, ia bukanlah sesuatu yang merisaukan saya,” katanya kepada Ball Thai Stand.
DYAM Tunku Ismail tampil dengan satu kenyataan sambil memberitahu bahawa kenyataan yang dilemparkan oleh Newin adalah benar.
“Dia bercakap benar. Liga Thailand lebih kuat dan lebih baik. Intensitinya lebih tinggi dan infrastruktur bola sepak jauh lebih baik terutamanya padang,” ujar Baginda dalam satu kenyataan balas.
Kedudukan ranking di Asia menunjukkan JDT menghuni tangga ke-10 manakala Buriram United pada kedudukan ke-42 ketika ini.