Menjelang aksi final pertama ASEAN Mitsubishi Electric Cup 2024, pengendali Vietnam, Kim Sang-sik bercadang untuk memanfaatkan keletihan yang dialami oleh pasukan Thailand ketika ini.
Vietnam dijadualkan melayani kunjungan Thailand pada aksi final pertama ini di Stadium Wilayah Phu Tao setelah berhasil menyingkirkan pasukan ke-160 dunia, Singapura di peringkat separuh akhir.
Manakala Thailand dipaksa beraksi sehingga minit ke-120 sebelum berjaya menewaskan Filipina pada Isnin sekaligus mara selaku juara bertahan ke final buat kali ketiga berturut-turut.
Menurut Sang-sik, mereka sedar Thailand ketika ini sedang alami keletihan selepas bertarung hebat menentang Filipina dan perlu memanfaatkan kekurangan itu dengan serangan bertali arus.
“Saya tahu mereka (Thailand) sedang bergelut dan keletihan selepas terpaksa bermain masa tambahan dengan Filipina,” komen Sang-sik menurut laporan VNExpress.
“Saya rasa ini adalah sesuatu yang perlu kita fokuskan untuk mengambil kesempatan dan menyerang.”
Walau bagaimanapun, Sang-sik mahu anak-anak buahnya untuk kekal mengikuti perancangan pasukan dan percaya peluang akan tiba selain ditambah sokongan padu peminat di laman sendiri.
“Namun, Vietnam akan cuba bermain mengikut rancangan. Saya percaya jika pasukan berusaha, peluang untuk meledak gol akan datang,” ujar jurulatih kelahiran Korea Selatan itu.
“Dengan sokongan lebih hebat daripada peminat di tempat sendiri, para pemain tidak akan gentar dan bertekad untuk memberikan perlawanan yang baik.”
Vietnam dan Thailand akan berentap di aksi final pertama ASEAN Mitsubishi Electric Cup pada Khamis, 2 Januari di Stadium Wilayah Phu Tao, Viet Tri dengan sepak mula jam 9 malam.