Advertisement
Wan Amirul Afiq Dedah Faktor Utama Kembali Sertai Regim Nafuzi
Dunia
MakanBola
Melaka United

Pencarian pemain yang dibuat jurulatih baru Kedah, Nafuzi Zain bagi mengisi slot bek kanan pasukan tersebut berakhir dengan ketibaan Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman dari Melaka United. Dan sebaik sah menyertai pasukan Helang Merah, Afiq mendedahkan Nafuzi sebagai faktor utama dia memilih pasukan yang berpangkalan di utara di tanah air itu.

Kedua-duanya saling mengenali kerana menjadi sebahagian daripada pasukan Piala Presiden Kelantan pada 2013. Nafuzi pada ketika itu memainkan peranan sebagai penolong jurulatih. Disebabkan bekas pemain Terengganu itu pernah melatih Afiq semasa dalam pasukan berkenaan, dia sudah masak dengan falsafah bola sepak yang dibawanya.

“Sebab saya memilih ke Kedah adalah kerana mahu bersama Nafuzi, seorang jurulatih yang saya amat kenali ketika bermain dengan skuad Piala Presiden Kelantan. Dia pada waktu itu bertindak penolong jurulatih dan cara dia bekerja begitu disenangi, malah saya sudah masak dengan apa yang dia mahukan sebagai seorang jurulatih.

“Selain itu, faktor Kedah yang merupakan satu nama besar dalam arena bola sepak negara turut membuatkan saya tidak berfikir lama untuk menerima Sang Kenari. Walaupun musim 2022 ada sedikit penurunan namun Kedah sentiasa memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan utama di Liga Malaysia,” katanya.

Afiq merupakan pemain terbaru yang menyertai skuad Helang Merah selepas dua penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz dan Fikri Che Soh, Manuel Ott dan Amirbek Jurobaev. Selain pernah menyarung jersi Melaka United selama empat musim dari 2019 hingga 2022, dia juga pernah bermain bersama Felda United dari 2017 hingga 2018.

Kehadiran Afiq memberi kelegaan kepada Helang Merah di bahagian bek kanan. Ini kerana sepanjang Liga Malaysia musim 2022, mereka banyak bergantung kepada Kamil Akmal. Kedah pastinya berharap kehadiran Afiq dapat menjadikan benteng pertahanan mereka lebih mantap menjelang musim baru liga.

Bekas bek kanan skuad Hang Tuah itu percaya Helang Merah boleh bangkit dari kempen hambar mereka musim ini dan memberi cabaran pada musim hadapan. Dia juga berharap para penyokong menerimanya dan memberi sokongan padu kepada Kedah apabila musim baru bermula.

“Di bawah Nafuzi, saya amat yakin sebenarnya Kedah boleh meraih sesuatu yang positif, lihatlah bagaimana pendekatan yang dibuat oleh beliau semasa di Terengganu. Saya juga harap penyokong Kedah akan sentiasa memeriahkan stadium bagi menaikkan semangat pemain-pemain dalam tiap perlawanan. Sebagai pemain, sudah tentu kehadiran penyokong yang ramai adalah satu perkara yang dimahukan malah aura di Stadium Darul Aman sentiasa luar biasa,” ujarnya.