Pemain berbakat negara, Wan Kuzain Wan Kamal terkejut dengan kualiti yang dimiliki oleh pasukan kebangsaan Singapura.
Skuad kendalian Pau Marti terpaksa melupakan hasrat untuk melangkah ke pentas separuh akhir ASEAN Championship.
Juara bertahan, Thailand dan Singapura mengesahkan tempat selepas mengikat Harimau Malaya dengan keputusan 0-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kehadiran Kuzain yang juga pemain St Louis City 2 di Bukit Jalil menwarnai aksi tersebut setelah beliau dikhabarkan bakal memperkuat Malaysia dalam masa terdekat.
Pemain berusia 25 tahun itu mengakui terkejut dengan kualiti permainan yang ditampilkan oleh Singapura yang berjaya beraksi dengan begitu baik di gelanggang lawan.
“Agak terkejut dengan betapa baiknya Singapura menggerakkan bola. Mereka memecahkan barisan pemain dengan mudah,” ujarnya dalam satu ciapan di laman X.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin memberitahu bahawa pemain ini bakal menerima pasport untuk mewakili Harimau Malaya.
“Sepatutnya kali ini (Pestabola Merdeka), Wan Kuzain dah sertai kem Malaysia. Beliau telah menghubungi saya beberapa bulan lalu namun nasib tidak baik kerana Wan Kuzain sedang cedera.
“InsyaAllah selepas pulih dari kecederaan, beliau akan datang, dapat pasport dan bermain untuk Malaysia,” jelasnya ketika ditemui di Wisma FAM.
Peluang pertama Kuzain untuk berada pada era baharu skuad negara kendalian Peter Cklamovski adalah bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027.