Bekas pemain kebangsaan, Faiz Nasir sah perkuat pasukan Kelantan Red Warrior (Kelantan RW) untuk saingan Liga A1 musim hadapan.
Berita perpindahan bekas pemain Terengganu ini diumumkan oleh pihak pengurusan Kelantan RW menerusi satu hantaran di media sosial yang menyaksikan kelibat Faiz Nasir bersama jersi pasukan.
”Faiz Nasir adalah Pahlawan Merah,” umum Kelantan RW di laman Facebook.
Dengan ini, Faiz Nasir bakal menjadi rekrut kedua pasukan dari Pantai Timur tersebut setelah ketibaan bintang muda berbakat besar, Syazan Zamri yang diumumkan pada awal Jun lalu.
Kehadiran Faiz Nasir ini sudah pastinya bakal memperkuat jentera tengah skuad kendalian Irfan Bakti menjelang aksi Liga A1 yang dijangka bakal membuka tirai tidak lama lagi.
Terdahulu, Kelantan RW diumumkan sebagai salah sebuah pasukan yang akan bertanding dalam saingan Liga A1 bagi musim 2025-2026 bersama 15 pesaing seperti JDT II dan Kedah DA.
Sebagai persiapan menghadapi musim baharu, Kelantan RW bakal turun bertemu Terengganu dalam aksi pemanas badan pada 4 Julai nanti di Stadium Sultan Muhaad IV, Kota Bharu.