Liga Super: Senarai Baki Perlawanan Kuching City, Selangor & KL City
MakanBola
SELANGOR FC

Selangor, Kuching City dan KL City kini sedang bersaing hebat merebut tempat kedua Liga Super tatkala saingan musim ini kian hampir ke penghujung.

Walaupun gelaran juara sudah diketahui menjadi milik JDT, namun kerancakan saingan Liga Super masih terasa ketika mana tumpuan kini terarah kepada perebutan tempat kedua.

Tiga pasukan sedang mengatur persiapan untuk menghadapi baki aksi Liga Super dalam misi bergelar naib juara sekali gus memperoleh slot ke AFC Champions League 2 (ACL2) musim hadapan.

Kuching City yang memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan akan bertemu DPMM minggu ini sebelum menentang Terengganu, Melaka dan menutup kempen berdepan KL City.

Manakala 3 baki lawan Selangor adalah Kelantan TRW pada minggu ini sebelum melayani kunjungan Penang dan PDRM di Stadium MBPJ untuk perlawanan penutup tirai Liga Super musim ini.

Jadual KL City tampak sukar apabila dijadualkan berkunjung ke laman JDT pada 2 Mei hadapan sebelum bertemu Negeri Sembilan dan terbang ke Sarawak bagi menghadapi Kuching City.

Carta terkini Liga Super menyaksikan Kuching City menghuni tangga kedua dengan mengumpul 43 mata daripada 20 aksi, sambil masih memiliki kelebihan satu perlawanan berbanding lawan yang lain.

Selangor turut mengutip 43 mata selepas beraksi dalam 21 perlawanan sementara KL City pula hanya ketinggalan satu mata di belakang kedua-dua pasukan pencabar ini di tempat keempat.