Aksi kedua peringkat kumpulan H AFC Champions League 2 (ACL2) membabitkan Selangor vs DH Cebu bakal mencuri tumpuan ramai dengan kelibat 5 bintang utama kedua-dua pasukan.
Selangor turun ke laman sendiri untuk melayani kunjungan wakil Filipina, Dynamic Herb Cebu setelah berjaya mencuri satu mata dari Muangthong United di Bangkok bulan lalu
Manakala, Cebu pula mahu menjadikan perlawanan kedua ini sebagai medan kebangkitan setelah tumbang 0-6 di tangan kelab Korea, Jeonbuk Hyundai dalam aksi pertama lalu di Manila.
Di sebalik pertemuan epik wakil Malaysia dan Filipina ini, aksi 4 bintang utama kedua-dua pasukan bakal menjadi tumpuan para peminat untuk menjadikan perlawanan lebih meriah.
1- Ronnie Fernandez
Meskipun dilaporkan mengalami kecederaan dalam saingan liga Sabtu lalu, namun Nidzam Jamil mengesahkan bahawa Ronnie akan kembali memperkuat bahagian hadapan The Red Giants.
Ketajaman Ronnie pastinya ditagih Selangor setelah berjaya menyumbang 8 gol dan dua bantuan jaringan dalam 11 aksi Liga Super musim ini selain turut meledak ketika perlawanan pertama bulan lalu.
2- Azim Al Amin
Aksi penjaga gol muda negara ini mula mendapat perhatian ramai apabila mendapat kepercayaan Nidzam Jamil untuk mengemudi benteng Selangor sejak final Piala FA yang lalu.
Dalam 2 aksi terdahulu, Azim telah berjaya memastikan pintu gol Selangor tidak dibolosi bahkan turut tampil cemerlang ketika mengikat Muangthong dalam perlawanan pertama lalu.
3- Yohandry Orozco
Nama Orozco dijangka menjadi sandaran di jentera tengah, bergandingan bersama Noor Rawabdeh dan Nooa Laine bagi menggerakkan serangan dari bahagian belakang ke barisan penyerang Selangor.
Untuk musim ini, Orozco sudah terlibat dalam sembilan gol yang dijaringkan oleh Selangor dalam semua pertandingan termasuklah melakukan bantuan untuk jaringan Ronnie pada aksi pertama di Bangkok.
4- Abou Sy
Ketua pasukan Cebu ini bakal membawa ancaman besar buat pertahanan Selangor apabila merekodkan sembilan gol dan 4 bantuan jaringan dalam 12 perlawanan liga domestik musim lalu.
Bahkan penyerang Senegal ini berada dalam prestasi terbaik setelah meledak 2 gol ketika menumbangkan Mendiola 1991 Ahad lalu dalam aksi pembukaan Philipines Football League (PFL).
5- Zamoranho Ho-A-Tham
Tonggak kacukan Suriname-Belanda ini menjadi nadi penting di jentera tengah Cebu apabila beraksi dalam 12 perlawanan musim lalu dan menyumbat 11 gol untuk muncul penjaring terbanyak kelab.
Dalam aksi pertama PFL minggu lalu, Zamoranho memulakan perlawanan di bangku simpanan sebelum dimasukkan pada pertengahan babak kedua untuk membantu pasukan meraih tiga mata.
Aksi Selangor-DH Cebu bakal berlangsung pada Khamis, 3 Oktober di Stadium MBPJ dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 8 malam.